Sunday, December 5, 2010

Salam Maal Hijrah - 1432



Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui, diilhamkan kepada Rasulullah satu jalan ke arah kesejahteraan orang Islam waktu itu iaitu penghijrahan ke Kota Madinah. Allah telah membuka hati kaum Yathrib Madinah (Ansar) untuk menerima kedatangan Rasulullah dan kaum Muhajirin yang lain. Allah telah menimbulkan kecintaan mereka terhadap iman, lantas bermulalah bai’ah Aqabah yang kedua. Penerimaan kaum Ansar bagai rahmat dari Allah. Mereka menyambut orang Islam yang datang dari Mekah dengan penuh rasa kecintaan dan alu-aluan. Maka berlakulah hijrah Rasulullah dan para sahabat baginda dengan segala persiapan dan strategi penghijrahan yang penuh kebijaksanaan. Padang pasir yang penuh fatamorgana direntasi, bukit bukau didaki…semuanya tidak mematahkan semangat Rasulullah dan sahabat kerana di hadapan mereka bagai ada cahaya indah yang sedang menanti.

Di sinilah bermulanya konsep pengorbanan atau perpindahan sewaktu situasi kaum Muslimin Mekah meninggalkan halaman kediaman mereka semata-mata mencari keredhaan Allah dengan memulakan kehidupan baru di kawasan yang asing bagi mereka. Berkat mengharungi dugaan dan cabaran, kaum Muslimin Mekah dan Madinah akhirnya bersatu membentuk satu pakatan Islam yang hebat berdekad lamanya.

Sempena tahun baru yang bakal menjelma ini (selasa, 7hb) bersama-samalah kita pasang niat dan bulatkan tekad untuk satu perubahan dalam diri kita ke arah menjadi mukmin yang sejati. Sama-sama kita melaksanakan dan mengamal ajaran sebenar Rasulullah kepada kita. Bukan saja solat 5 waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan, tapi hubungan kita dengan manusia lain juga perlu dijaga. Selain itu, berpesan-pesanlah sesama kita dan sampaikanlah peringatan buat saudara kita. Semoga kita sama-sama merasai nikmat Islam sebenar dalam diri kita. InsyaAllah. Seindah2 nikmat adalah nikmat Islam, semoga saya terus kekal berada dalam nikmat hidayah Allah ini. Tiada yang indah melainkan mendapat redha-Mu Ya Allah kerana di situlah terletaknya segala kekuatanku, ketenanganku dan kebahagiaanku.

¸.•*´¨`Salam Maal Hijrah 1432H.

No comments:

Target sebelum ke 'sana'